Bersih, Cekap dan Beramanah adalah nilai yang perlu dipegang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) untuk kelancaran urusan pentadbiran negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menggariskan tiga nilai tersebut, Dr Mahathir berkata bersih bermakna tidak ada rasuah, cekap adalah berkemahiran dan boleh membuat kerja dan amanah pula berkaitan kebolehpercayaan.
Beliau berkata tiga nilai hidup itu penting kerana ia dapat menolak tekanan nafsu dan mengikut apa ditentukan oleh akal fikiran.
“Nafsu ini boleh melambatkan kerja dan meningkatkan kos hasil serta segala usaha untuk membangunkan negara akan dilambatkan. Kita tidak akan berjaya jika kita tidak bersih.
“Nilai hidup ini akan menentukan karakter sama ada kita gagal atau berjaya,” katanya pada Sesi Town Hall bersama PTD yang dihadiri kira-kira 3,500 PTD daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di sini, hari ini.
Kempen Bersih, Cekap dan Amanah diperkenalkan Dr Mahathir pada April 1982 sebagai satu dasar yang menjadi amalan di negara ini.
Dr Mahathir menegaskan slogan Bersih, Cekap dan Amanah diperkenalkan bukan untuk dipamerkan tetapi diamalkan.
“Kalau dulu, semasa saya jadi perdana menteri tidak ada masalah kerana saya boleh percaya kepada semua orang. Tetapi, sekarang ada hasutan dari pihak tertentu dan wujud masalah kurang kepercayaan,” katanya.
Menghurai lanjut, Dr Mahathir menerangkan nilai cekap adalah apabila sesuatu kerja atau perbuatan dilakukan berulang kali dengan jujur, maka hasilnya akan memberi
kemahiran serta menjadi satu perkara yang mudah yang boleh dilakukan walaupun ‘memejam mata’.
Nilai amanah itu pula sangat penting iaitu “jangan sesekali ambil apa yang bukan milik anda”, dan segala kerja dapat dilakukan dengan cepat mengikut aturan and peraturan yang ditetapkan, katanya.
“Bangsa yang melakukan segala mengikut peraturan dan berpegang kuat kepada kebersihan, tidak libat dalam rasuah, akan berjaya. Apabila rasuah menjadi budaya, tiada penyembuhnya,” katanya yang membahagikan rasuah kepada dua peringkat iaitu ‘above the table’ atau “di atas meja” dan ‘under the table’ atau “di bawah meja”.
“Pada mulanya, perbuatan rasuah dilakukan ‘under the table’ secara sembunyi kerana dia tahu dia salah dan kalau dikesan akan menghadapi hukuman. Kalau budaya ini sudah resap ke seluruh masyarakat, rasuah akan diberi atas meja dan dibuat secara terbuka,” katanya.
Berhubung sifat ‘kepimpinan tulen’, Dr Mahathir menyifatkan pemimpin perlu berpegang kepada nilai yang murni serta memberi contoh terbaik dan berasa malu apabila melakukan perkara tidak baik yang membawa mudarat kepada bangsa dan negara.
Ketika menyentuh perkara itu, beliau skeptikal terhadap pembelian kapal mewah Equanimity yang disifatkannya menggunakan ‘duit yang dicuri tanpa sedikit pun perasaan malu.”
Pada sesi soal-jawab bersama PTD, Dr Mahathir memberikan persetujuan menukarkan frasa sektor awam “saya yang menurut perintah” kepada “saya yang menjalankan amanah” dan persetujuan itu mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.